Kuala Lumpur: Penyanyi Drama Band, Aepul Roza menyifatkan nyanyian bakat baharu, Nuha Bahrin yang bertanding dalam program Vokal Mania, Ahad lalu umpama dia sedang bermain gimnastik dan akrobatik di gelanggang yang salah.
Aepul ketika dihubungi berkata, dia berasa wajar untuk tampil memberi teguran kepada Nuha supaya penyanyi itu boleh memperbaiki kesilapan untuk menjadi penyanyi yang bagus pada masa depan.
"Macam gimnastik saya dengar dia buat (menyanyi) lagu itu. Jadi, kalau tidak ditegur sekarang apa yang berlaku depan mata, bagi saya ini satu tanggungjawab. Sebagai pemain pentas, kita selaku penyanyi kena utamakan penonton kerana mereka adalah segalanya.
"Kita kena sampaikan cerita dalam sebuah lagu itu melalui rasa. Ia tidak semestinya kita kena menyanyi notasi yang tepat, hebat dan susah, baru cerita dalam lagu itu dapat disampaikan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aepul, dia sendiri jarang menukar notasi dari susunan muzik asal sehingga jalan cerita lagi itu menjadi merapu.
"Dia seperti melakukan gimnastik tapi sia-sia sebab salah 'landing'. Saya anggap nyanyiannya umpama gimnastik dan akrobatik yang gagal. Saya berani cakap persembahan itu gagal dan jangan ego apabila buat persembahan. Ia umpama nak tunjuk kepada semua orang, tengoklah apa yang saya ada. Namun, silapnya apabila tersalah tempat," katanya.
Menurut Aepul, tegurannya bukan untuk menjatuhkan semangat penyanyi wanita itu, tetapi supaya dia dapat memperbaiki kesilapannya.
"Saya nak tengok dia hebat kerana saya yakin dia boleh membuat persembahan terbaik jika dia nyanyi dalam 'key' yang betul. Saya amat yakin dia seorang yang hebat. Teguran ini juga buat penyanyi- penyanyi baharu supaya mereka boleh memahami penceritaan dalam sebuah lagu sebelum menyanyikannya. Ini kerana semua lagu ada cerita dan kalau nak tepat kisahnya, ia tak perlukan notasi yang hebat pun dah jadi sedap didengar.
"Lagipun, tidak semua penyanyi memiliki notasi yang sedap ketika menyanyi, tapi kenapa lagu dinyanyikan itu dapat diterima dengan baik oleh penonton adalah harus kena dengan rasa," katanya.
Mengulas pemilihan penonton yang melayakkan Nuha menang Rookie Star Award minggu lalu, Aepul berkata, selain sudah rezeki, sebenarnya masih ramai penonton yang kurang faham asalkan individu itu dapat menyanyi notasi tinggi dan nampak hebat, maka dia betul.
Terdahulu, Aepul memuat naik status di Twitter mengenai persembahan Nuha dan ciapannya itu mendapat maklum balas positif kebanyakan warganet.
Kata Aepul, apabila dia Tweet, warganet pun dah faham macam mana perangainya di Twitter yang suka bergurau sambil menegur.
Pada konsert minggu kedua Vokal Mania itu, Nuha menyanyikan lagu Kekasih Awal Dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah sehingga dia dilabel ' perosak lagu' walaupun penyanyi antarabangsa, Christina Aguilera pernah memujinya.
Sumber: Harian Metro 3 Nov 2020
© New Straits Times Press (M) Bhd
Comments
Post a Comment